KUALA LUMPUR:Felda berhasrat mengambil semula sejumlah 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Bhd (FGV) bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.

Pengerusi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan langkah itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi Felda bagi mewujudkan model perniagaan yang berdaya saing dan mampan.

“Memang ada perjanjian, sebenarnya semasa tanah itu dipajakkan kepada FGV, sudah ada satu persetujuan di mana jika Felda ingin mengambil semula tanah tersebut.

“Mereka diberi notis selama 18 bulan dan sudah ada pampasan.

"Formula juga sudah ada, bermakna sejak kita memberi tanah tersebut kepada FGV, sudah ada perkiraan.

“Ini bermakna, Felda boleh mengambil balik tanah tersebut kerana orang Felda ini bukan daripada golongan orang yang senang.

"Jadi dengan perjanjian itu, mereka juga bersetuju untuk membenarkan Felda mengambil semula tanah tersebut dan pastinya ada terma yang membenarkan kami mengambil semula tanah itu," kata Idris.



Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad menegaskan bahawa FGV dan Felda perlu digabungkan semula bagi mengurangkan kos operasi kedua-dua firma itu.

“Penggabungan ini dapat mengurangkan kos pentadbiran bagi kedua-dua institusi ini yang kini berjumlah RM1.7 billion kepada RM1 billion sahaja, iaitu penjimatan sebanyak RM700 juta setahun.

“Ia akan menjadikan gabungan ini bertambah kukuh kerana mereka mempunyai ladang seluas kira-kira 850,000 hektar, lebih besar daripada ladang Sime Darby.

“Saya menjangkakan pemegang saham FGV sekarang akan menyambut baik penggabungan ini kerana mempunyai potensi besar untuk memberikan keuntungan kepada pelaburan mereka,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

BACA: 'Kanak-kanak bantu ibu bapa bekerja bukan buruh paksa' - Pengerusi Felda

BACA: Gabungkan kembali Felda dan FGV - Bekas CEO