Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka semula kertas siasatan berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan tersebut dan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, usaha pihak SPRM tersebut merupakan langkah terbaik bagi memastikan Felda benar-benar bebas daripada sebarang bentuk gejala rasuah.

Justeru, pihaknya juga akan memberikan apa-apa maklumat yang diperlukan sprm bagi melengkapkan siasatan tersebut.

Katanya, ia juga selaras dengan prinsip Felda yang ingin memerangi gejala rasuah secara habis-habisan dan bertepatan dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani Felda pada April lalu.

“Kita telah bersetuju dengan dasar wisel blowing iaitu untuk memberi maklumat. Maka apabila SPRM ada maklumat baharu untuk kes yang lama, kita lagi gembira kerana itu yang kita hendak, penyelesaian yang baik.

“Kerana ini ialah satu yang memang boleh membantu kita memulihkan kepercayaan orang ramai kepada Felda. Kita menyokong tindakan terhadap gejala rasuah, kalau ada teruskan dan kita kan kerjasama sepenuhnya dengan SPRM,” katanya ketika ditemui pada Karnival Negaraku Sehati Sejiwa DUN Machap di Felda Tun Ghafar, di sini hari ini.

Perasmian majlis sebelum itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan berhubung pembelian hotel terbabit dibuka semula berikutan pihaknya menerima maklumat baharu.

Pihak SPRM juga akan akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Ia bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu.