Fenomena air pasang besar mula beransur pulih mulai hari ini dan ia dijangka bertambah baik untuk tempoh beberapa hari lagi, demikian menurut Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari.

Alui berkata, keadaan angin juga semakin reda dan MetMalaysia menjangkakan ketinggian ombak hanya akan mencecah di bawah paras 4.5 meter.

"Walaupun kita tahu ketika ini air pasang berlaku disebabkan fenomena bulan baharu, namun impak air pasang ketika ini akan berkurangan, disebabkan faktor ombak yang semakin berkurangan.

"Cuaca di Semenanjung Malaysia akan beransur pulih, dan MetMalaysia tidak menjangkakan akan berlaku hujan lebat dalam tempoh 3 hari akan datang," tambahnya lagi ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

BACA : Bomba Sarawak akan tukar syif kerja jika banjir semakin meruncing

Katanya, MetMalaysia menjangkakan cuaca akan menjadi lebih baik di Sarawak, memandangkan ketika ini Malaysia berada di penghujung musim tengkujuh.

Beliau berkata, keadaan cuaca ketika musim tengkujuh ini tidak seteruk sewaktu permulaan dan pertengahan musim tengkujuh.

"Mengikut data-data statistik meteorologi yang kita ada ketika ini, lazimnya keadaan cuaca akan bertambah reda dan hujan lebat tidak akan berlaku ketika penghujung musim tengkujuh, iaitu pada bulan Februari dan Mac," tambah beliau.