FGV Holdings Berhad telah memfailkan saman terhadap bekas pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berhubung pembelian dua kondominium mewah di Persiaran KLCC di sini.

FGV mengumumkan prosiding undang-undang terhadap kedua-dua mereka dalam makluman kepada Bursa Malaysia bertarikh semalam, lapor Bernama.

Syarikat itu mendakwa bahawa unit-unit itu dibeli dengan harga yang jauh melebihi nilai pasaran dan tanpa penelitian yang munasabah, dan bahawa kedua-dua individu itu menggunakan dan memiliki hartanah tersebut tanpa kebenaran.

Saman itu juga adalah berkaitan pembelian beberapa buah kereta oleh syarikat dan apa yang didakwa sebagai penyalahgunaannya oleh Mohd Emir, serta dakwaan penyalahgunaan petrol untuk faedah dirinya.

Syarikat tersebut menyatakan ia telah mengalami kerugian akibat kegagalan melaksanakan kewajipan fidusiari secara bertanggungjawab, berkemahiran dan penelitian yang munasabah.

Syarikat itu, antara lain menuntut kira-kira RM7.68 juta dan relif lain dari kedua-dua mereka.

Prosiding undang-undang itu telah dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.