KUALA LUMPUR:FGV Holdings Berhad (FGV) menolak dakwaan oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang mengharamkan import produk sawit daripada syarikat itu.

Menurut FGV, pihaknya kecewa dengan keputusan CBP dan menegaskan telah mengambil langkah serius untuk menepati piawaian pekerja serta menghormati hak asasi manusia sejak beberapa tahun lalu.

"FGV tidak terlibat dalam mengambil pelarian sebagai pekerja. Mulai 2020, kebanyakan pekerja asing FGV datang dari India dan Indonesia menerusi proses yang sah dan diiktiraf pihak berkuasa Malaysia serta kerajaan negara asal," kata FGV dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat Ogos lalu, terdapat 11,286 pekerja warga Indonesia dan 4,683 pekerja warga India yang diambil FGV secara langsung dan bukan secara kontrak.

FGV mengulangi komitmennya menegakkan garis panduan dan prosedur yang adil dalam proses mengambil pekerja asing, menerusi Garis Panduan dan Prosedur Pengambilan Pekerja Asing yang Bertanggungjawab pada 2019.

Berdasarkan garis panduan tersebut, FGV komited untuk membayar kos membabitkan pengambilan pekerja asing, termasuk kos penerbangan, permit, visa dan insurans.

BACA: Amerika Syarikat haramkan import produk sawit dari FGV

FGV turut telah memperkenalkan sistem pembayaran gaji menerusi e-dompet pada Februari lalu di Gua Musang, Kelantan yang melibatkan 1,500 pengguna di 11 estet.

Dalam masa yang sama, syarikat itu turut menyangkal dakwaan CBP bahawa pasport dan dokumen pengenalan diri pekerja disimpan oleh majikan.

“FGV tidak menyimpan pasport pekerja dan telah memasang sebanyak 32,250 peti keselamatan di kesemua 68 kompleks supaya pekerja asing dapat menyimpan pasport mereka secara selamat.”

CBP pada Rabu mengeluarkan arahan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap kemasukan dan penggunaan minyak sawit keluaran FGV di negara itu.

Keputusan tersebut berdasarkan hasil siasatan selama setahun yang mendapati syarikat itu mengambil tenaga buruh paksa.