Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan keterujaan beliau menyaksikan persembahan aset ketenteraan Pakistan pada sambutan Hari Pakistan 2019 hari ini.

Beliau yang dijemput sebagai tetamu kehormat oleh rakan sejawatnya, Imran Khan, mengagumi persembahan tiga jam yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen Pakistan.

“Saya tidak tahu sekuat mana ketenteraan Pakistan, tapi anda akan ‘tersungkur’ jika berperang dengan mereka (Pakistan).

“Mereka ada peluru berpandu yang membawa senjata nuklear. Jadi fikirkan dia kali jika mahu menyerang Pakistan,” katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Nur Khan, Rawalpindi pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Pakistan 2019 yang merupakan program penutup lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik Islam itu.

Diminta mengulas berkenaan hubungan tegang Pakistan-India, Dr Mahathir berkata Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak masuk campur sekali gus tidak memihak kepada mana-mana negara.

“Kita tidak suka akan peperangan dan pada masa sama kita tidak menyebelahi kepada mana-mana pihak. Saya fikir, memberi ruang kepada pengganas untuk bertindak sangat bahaya. Kita perlu bercakap dengan pengganas ini.

“Semua pihak perlu elak daripada berlakunya tindakan keganasan yang sememangnya tidak ada objektif. Bila pengganas bergaduh, mereka hanya mahu membalas dendam kerana mereka tidak mampu menakluk dan mengalahkan pihak satu lagi.

“Jadi mereka membunuh. Adakah kemanusiaan wujud hanya untuk membunuh manusia?” tegas Dr Mahathir.