Jabatan Keadilan Filipina sudah menyiapkan satu kertas kajian mengenai tuntutan negara itu ke atas Sabah dan telah menyerahkannya kepada Presiden Benigno Aquino III.

Setiausaha Keadilannya, Leila de Lima bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai kajian itu yang dibuat atas arahan Aquino.

“Ia satu kajian sulit dan saya perlu dapatkan kebenaran daripada Presiden apakah ia boleh didedahkan kepada umum," kata de Lima seperti dipetik oleh laman web akhbar Philippine Daily Inquirer.

Jelas beliau, kertas kajian itu diserahkan ke Istana Presiden pada Jumaat lepas.

Aquino mengarahkan kajian itu dibuat bagi meneliti kedudukan tuntutan Filipina ke atas Sabah berdasarkan kepada undang-undang dan sejarah susulan pencerobohan kumpulan pengikut waris Kesultanan Sulu ke atas wilayah berkenaan pada akhir bulan lepas.

“Presiden mempunyai kuasa mutlak sama ada menimbangkan atau tidak kajian berkenaan, atau menerimanya,” kata de Lima.

“Persoalannya ialah adakah tuntutan itu kuat atau tidak dan apakah ia perlu diteruskan di tribunal yang sesuai, dan apakah pilihan yang ada susulan perkembangan semasa,” katanya.

Filipina menyandarkan tuntutannya ke atas sebahagian wilayah Sabah iaitu dari Kota Belud sampai ke Tawau berdasarkan kepada satu perjanjian pada 1878 antara Sultan Sulu dengan dua pedagang Britain.

Perjanjian itu ditafsirkan oleh Kesultanan Sulu sebagai satu pajakan dan bukannya penyerahan wilayah seperti yang dipertahankan oleh Malaysia.

Malaysia sehingga ini masih membayar wang sebanyak RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu namun sejak krisis pencerobohan ini bermula, beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak kerajaan menghentikan pembayaran tersebut.

Filipina dalam pada itu turut bersandar kepada Perjanjian Manila yang ditandatangani pada 31 Julai 1963 yang antara lain memperuntukkan bahawa pembentukan Malaysia tidak menjejaskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Sementara itu, de Lima juga memaklumkan beliau telah menerima laporan hasil siasatan bersama polis republik itu dengan beberapa agensi lain berhubung tindakan Jamalul Kiram III mengirimkan pengikutnya ke Sabah, termasuk soal kemungkinan siapakah dalang yang menaja mereka.

Beliau enggan mengulas lanjut “sehinggalah kes difailkan terhadap beberapa individu yang didapati terlibat."

Polis Diraja Malaysia dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia melancarkan Operasi Daulat bagi membanteras kumpulan yang disifatkan pengganas sejak 5 Mac lepas.

Pencerobohan itu sehingga ini mengorbankan 10 anggota keselamatan manakala 67 pengganas telah dibunuh.

Pihak berkuasa pada masa sama telah menahan 111 suspek di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dipercayai membantu kumpulan pengganas serta 306 lain kebanyakannya warga Filipina atas pelbagai kesalahan lain termasuk di bawah Akta Imigresen.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan Zon Selamat Sabah Timur merangkumi 10 daerah dari Kudat sampai ke Tawau.