Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan telah mengemukakan surat tuntutan kepada Naib Presiden Parti Keadilan (PKR) Rafizi Ramli untuk menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.

Abdul Rahman berkata surat tuntutan terhadap Rafizi bertarikh 5 Jan 2018 dikeluarkan menerusi peguamnya, Tetuan Raja Riza

"Surat tuntutan tersebut antara lain menuntut Rafizi menarik balik kenyataan tersebut dan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rahman berkata tempoh surat tuntutan itu masih belum matang.

Sekiranya Rafizi gagal mematuhi surat tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau akan mengarahkan peguamcaranya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Pandan itu.

BACA: 'Rafizi, jumpa anda di mahkamah!' - Rahman Dahlan

Abdul Rahman berkata serahan ke diri pada hari berkenaan gagal berikutan Rafizi tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

"Cubaan serahan ke diri (Rafizi) buat kali kedua dilakukan semalam (8 Jan) di alamat yang sama namun, Rafizi masih tiada di pejabatnya. Oleh yang demikian, surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Mohd Shariffudin dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan," katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa kontrak Ekspo Negaraku diberikan kepada syarikat yang didakwa milik abang Abdul Rahman iaitu Raslan Dahlan, menyebabkan Abdul Rahman bertindak mahu mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Rafizi semalam dilaporkan berkata beliau belum menerima saman fitnah walaupun tiga minggu berlalu sejak Abdul Rahman menyatakan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

-- BERNAMA