Pelakon Fizz Fairuz dianugerahkan darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar,di sini hari ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat mengurniakan darjah kebesaran berkenaan kepada Fizz Fairuz atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 39 tahun.

Selain itu, seramai 21 penerima dianugerahkan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri; tiga penerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dengan gelaran Datuk Indera.

Seramai 11 penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan 66 penerima DIMP dengan kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Mendahului senarai penerima pingat adalah adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Nor Akmar Sultan Abu Bakar yang menerima SSAP membawa gelaran Datuk Seri

Penerima lain adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed dan Datuk Wan Abdullah Wan Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Shahruddin Khalid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Amar Singh ; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa dan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Hou Kok Chung.

Tiga individu menerima SIMP yang membawa gelaran Datuk Indera iaitu Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Noridah Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Khairul Dzaimee Daud dan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Sebelas individu yang menerima DSAP yang membawa gelaran Datuk antaranya, Tengku Abdul Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz; Orang Besar Enam Belas, Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggong Abdul Aziz; Pengarah Urusan Alam Jitu Bina Sdn Bhd, Datuk Ahmad Latifi Abd Malek; Orang Besar Enam Belas, Tengku Datuk Mohd Mustaffa Tengku Datuk Ibrahim, Pengarah Kastam Diraja Malaysia Selangor, Datuk Sarip Ismail,Pengarah Premier Material Supplier, Datuk Quek Ching Hong; Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Suhaime Mahbar; Pengarah Bahagian Transformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Dr George Patrick @ Marimuthu; Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Ahmad Shublee Othman, Pengarah Urusan CF Uniform Sdn Bhd, Cheng Siew Seng dan Ketua Pegawai Keangan Gastra Sdn Bhd, Phua Tzyh Lih.

Sementara itu, 66 individu pula dianugerahkan DIMP antaranya Timbalan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Puan Seri Nik Hasmah Nik Kadir; Datin Normah Ahmad; Datin Shazlina Muhammad Adzmin; Datin Ruhayah Omar; Pengarah Syarikat Ilham Raudah Integrated, Datin Siti Hapizah Md. Kail; Pengarah Iklim Enterprise, Datin Hasmalaili Zainuddin; Pengarah Pengurusan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Ruslin Jusoh; Panel Penasihat Suruhanjaya Pilihan Raya, Ahmad Adli Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah Sukma Sakti, Shamsudin Ibrahim dan Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Abd. Manan Muda.

Dalam majlis itu juga, tujuh individu pula menerima pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) manakala 17 penerima pingat Setia Mahkota Pahang (SMP).

Sebelas lagi menerima pingat Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), 16 penerima pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP), 15 penerima bagi Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan Pingat Jasa Kebaktian.