Sepasang suami isteri yang diburu sebelum ini kerana dipercayai mendalangi sindiket penipuan pelaburan tukaran wang asing atau forex ditahan sebaik sahaja pasangan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata lelaki berusia 56 tahun bersama isterinya 55, ditahan sejurus pulang dari negara jiran selepas keluar negara sejak 11 Feb lepas.

Katanya setakat ini polis menahan lima suspek utama sindiket itu termasuk tiga lelaki yang ditahan pada 10 Feb lepas.

"Sindiket ini dipercayai bermula pada 2013 sehingga Ogos 2016 dan seramai 70,000 mangsa dianggarkan menjadi mangsa sindiket ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya polis turut merampas hartanah bernilai RM10.4 juta antaranya rumah Semi D, sebuah kondominium, sebuah lot kedai dan dua lot kilang milik pasangan terbabit.

Selain itu, polis turut merampas lapan kenderaan mewah suspek jenis Mercedes Benz, Porsche Cayenne, BMW dan Audi selain 50 jam tangan pelbagai jenama yang dianggarkan kesemuanya RM12 juta.

Pada 10 Feb lepas, polis menahan tiga individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket itu melibatkan kerugian hampir RM1 bilion.

Suspek-suspek ini memperdayakan mangsa untuk menyertai pelaburan berkonsepkan pertukaran mata wang asing serta mengaburi mangsa dengan mengadakan seminar di hotel-hotel, menawarkan jaminan keuntungan 12 peratus setiap bulan, menggunakan syarikat yang berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan melibatkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk.

Sementara itu, dalam kes berasingan Amar Singh berkata seorang pengerusi sebuah badan kebajikan antara 10 yang ditahan di sekitar Sepang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan tuntutan pencen ilat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan syarikat insurans melibatkan kerugian masing-masing bernilai RM1.2 juta.

Menurutnya, lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 34 hingga 60 tahun itu ditahan dalam Op Ilat pada 13 Mac lepas.

"Kami menerima 24 laporan polis berkaitan kes ini dan sindiket berkenaan dipercayai telah dijalankan sejak September 2016. Modus operandi yang digunakan anggota sindiket ini ialah mengemukakan permohonan kepada Perkeso dan insurans dengan memanipulasikan laporan perubatan," katanya.

Katanya, pengerusi badan kebajikan yang merupakan suspek utama telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 26 Mac 2018 manakala terdapat beberapa ahli sindiket yang masih direman dan ada yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

-- BERNAMA