Formula baharu bagi pembiayaan universiti awam akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kebergantungan Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terhadap kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, formula itu terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT) 2015-2025 dan mampu merangsang universiti tempatan untuk menjana pendapatan sendiri.

Formula baharu bagi pembiayaan universiti awam akan dilakukan secara berperingkat iatu bermula dengan pembiayaan dana 95 peratus kerajaan kepada IPTA berbanding 100 peratus sebelum ini.

"Ia sebenarnya tidaklah menjadi satu perkara yang terlalu besar. Kita sudah ada mengambil 10 peratus untuk bajet. Ini hanya potongan 5 peratus daripada bajet yang akan diberi balik kepada mereka jika mereka menunjukkan prestasi.

"Bukanlah potongan sepenuhnya. Jika mereka capai KPI, mereka akan mendapat 3 peratus lagi.

"Namun, ia hanya 5 peratus. Maknanya, pembiayaan berdasarkan kemajuan tahun depan adalah 5 peratus sahaja," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) di sini hari ini.

Pantau perkembangan

Dengan formula baharu ini, pelajar universiti awam juga diingatkan sentiasa bersedia untuk memastikan matlamat berkenaan menemui kejayaan.

"Mereka (pelajar) perlu bersedia kalau tidak kita tidak akan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Apabila PPPM (PT) ini dilancarkan, kita telah mengambil kira senario di peringkat antarabangsa dan inilah pilihan yang ada pada kita yang perlu kita ikuti dalam usaha untuk Malaysia menjadi hab pendidikan serantau yang ada pada hari ini," jelas beliau.

Tambahnya, jawatankuasa yang ditubuhkan bagaimanapun akan menilai dan memantau perkembangan penggunaan formula berkenaan.

"Kita akan melakukan penambahbaikan dan kami nak pastikan produktiviti mereka terus meningkat dan berkesan serta cara mereka jana pendapatan juga kerana asasnya kita mahu supaya universiti tempatan tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

"Universiti kita terlalu bergantung kepada kerajaan kerana 70 hingga 90 peratus peruntukan universiti kita datang daripada kerajaan," kata Idris.

Formula itu akan digunakan berterusan dalam masa 10 tahun dengan sasaran kerajaan untuk menyalurkan dana sehingga 60 peratus kepada universiti awam pada 2025.

Pada masa ini, dana semasa untuk universiti awam melibatkan pembiayaan yuran pendidikan, pendapatan lain, geran pukal dan pembangunan.

Namun, dengan formula baharu, dana universiti awam akan mengekalkan pembiayaan yuran pendidikan, sumbangan dan pendapatan lain, dana berdasarkan input dan prestasi serta pembangunan.