Fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak terjejas daripada segi perundangan walaupun buat masa ini hanya mempunyai Pengerusi.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata segala tindakan yang dibuat mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga selaras serta mengikut nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember 2018.

"Untuk penjelasan lanjut, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 114(7).

"Perkara 114(1) dan Perkara 114(7) Perlembagaan Persekutuan ini juga harus dibaca bersama dengan Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan Suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat pada masa itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kedua-dua peruntukan tersebut merumuskan bahawa fungsi yang dilaksanakan Pengerusi SPR adalah fungsi SPR dan ia wajar dijalankan secara kolektif sekiranya tidak berlaku kekosongan disebabkan oleh kehendak undang-undang.

"Memandangkan kekosongan enam anggota SPR buat masa ini merupakan kekosongan di bawah perundangan, maka Pengerusi SPR dalam keadaan sedemikian boleh melaksanakan fungsi-fungsi SPR," kata Azhar Azizan.

Justeru, katanya, Pengerusi SPR masih boleh berfungsi seperti mana dalam keadaan sekarang iaitu sekiranya hanya tinggal seorang pengerusi sahaja maka segala keputusan yang dibuat adalah sah serta dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan beberapa pihak yang mempersoalkan kelayakan serta kedudukan SPR dalam menentukan proses-proses penjalanan pilihan raya terutama yang melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih disebabkan berlakunya kekosongan jawatan ahli-ahli Suruhanjaya dan masih belum diisi sehingga hari ini.

Ujarnya lagi, pandangan undang-undang tersebut juga telah dirujuk dalam kes antara Peguam Negara Dan Nurul Izzah Anwar dan 10 lagi rayuan sivil yang mana Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa SPR dibolehkan untuk berfungsi secara sah walaupun kurang daripada tujuh ahli suruhanjaya.