Ibarat syaitan yang bertopengkan manusia, dua lelaki tergamak merogol adik kandung mereka sendiri dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Papar, Sabah pada Rabu lalu.

Dalam kejadian 6 Jun kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang tidur di ruang tamu kediaman mereka sebelum didatangi kedua-dua suspek yang juga abang kepada gadis berkenaan sebelum salah seorang daripadanya bertindak menutup dan menahan badannya.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu dikatakan membuka pakaian mangsa dengan menggunakan sebilah gunting lalu merogolnya.

Mangsa bagaiamanapun gagal mendapatkan pertolongan keluarganya yang lain kerana mulut dan badannya ditahan oleh abang-abang itu.
.
"Ekoran daripada itu mangsa telah membuat satu laporan polis. Kakak mangsa telah membuat satu laporan polis berkaitan kes ini, dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan pihak polis telah berjaya menangkap kedua-dua suspek yang merupakan abang kandung mangsa sendiri.

"Kedua tangkapan telah dibawa balik ke IPD Papar, telah menjalankan saringan ujian air kencing dan mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah, abang kedua negatif... walau bagaimanapun, kedua-dua suspek ketika kejadian dalam keadaan mabuk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ladamah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek difahamkan melakukan perbuatan diluar batasan itu sejak mangsa berusia 12 tahun.

Untuk rekod katanya, mangsa pernah dicabul tiga kali dan dua kali dirogol oleh kedua-dua abangnya manakala gadis berkenaan turut pernah mengadu kepada ibu bapanya namun tidak diendahkan sebelum ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan kerana didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah menerusi Op Tapis yang dijalankan di sekitar kawasan Papar pada Rabu lalu.

"Pihak polis telah bertindak pantas dan menangkap pengedar, merampas 29 keratan straw kecil dan berat lebih kurang 5.26 gram, kalau dipecah kecil boleh dipecah sebanyak 50 paket kecil dan boleh diedar kepada 50 orang," katanya.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 20 hingga 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.