Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin akan mengeluarkan nasihat henti guna produk susu formula bayi jenama terkemuka yang dipercayai mempunyai produk tiruan jika pengguna gagal membezakan produk asli dan tiruan secara fizikal.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya tidak boleh menarik semua produk jenama tersebut daripada pasaran kerana ia akan mendatangkan masalah kepada pengguna.

"Pengguna perlu tahu sama ada tiruan atau asli. Jika kami hentikan bekalan semua produk jenama ini, ia akan menjadi satu masalah pula.

"Jadi ini perlunya kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan syarikat pengeluar untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan atau tidak antara asli dan tiruan.

"Jika gagal dibezakan, besar kemungkinan dalam satu tempoh, kami (KKM) akan menasihati ibu bapa untuk hentikan pembelian susu jenama tersebut sehingga kita dapatkan keputusan yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hospital International Medical University (IUM) di sini, hari ini.