Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) warganegara India ditahan polis selepas kereta yang dipandunya melanggar lima buah kenderaan di Jalan Pantai Cenang, Langkawi, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, suspek yang memandu di bawah pengaruh alkohol tiba-tiba merempuh deretan kereta yang diparkir di hadapan sebuah hotel.

Rempuhan itu menyebabkan lima buah kenderaan mengalami kerosakan. - Foto PDRM

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superitendan Mohd Iqbal Ibrahim, suspek ketika itu dalam perjalanan ke kedai runcit bagaimanapun suspek dipercayai terlajak ketika cuba membuat pusingan-U lalu melanggar kereta yang berada di tempat parkir.

Akibat rempuhan itu, lima buah kereta rosak iaitu Hyundai Accent, Nissan Almera, Perodua Viva, Toyota Vios dan Honda Jazz.

Menurut Mohd Iqbal, hasil pemeriksaan suspek yang kudung kaki kiri tidak mempunyai lesen memandu antarabangsa dan mengaku memandu di bawah pengaruh alkohol.

Setelah ujian pernafasan dilakukan didapati alkohol dalam darah suspek itu juga didapati melebihi had yang ditetapkan.

Suspek ketika itu dalam perjalanan ke kedai runcit bagaimanapun suspek dipercayai terlajak ketika cuba membuat pusingan U. - Foto PDRM

Suspek ditahan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau pada masa sama memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap individu yang tidak bertanggungjawab mengambil alkohol berlebihan dan memandu dalam keadaan mabuk kerana ia boleh membahayakan pengguna lain selain boleh menyebabkan kematian.