Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membatalkan permit syarikat pengawal keselamatan jika mereka menggaji pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh membatalkan permit tanpa memberikan amaran terakhir.

Menurutnya, ini bagi membendung penyusupan pengganas daripada kalangan warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Kami memandang serius soal keselamatan negara dan telah memperketatkan syarat pengambilan pengawal keselamatan," katanya yang juga Menteri Dalam Negeri, semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang bertanya sama ada kerajaan ada memperketatkan syarat pengambilan pengawal keselamatan berikutan penahanan tujuh pengikut Abu Sayyaf di ibu negara pada 14 September lalu.

Abdul Manan berkata, memandangkan pengawal keselamatan itu dikatakan telah berbai'ah dengan Daish, ia menunjukkan masih terdapat kelemahan daripada segi kawalan keselamatan di sempadan negara dan ia mudah dibolosi.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan, KDN telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha kerajaan menentang keganasan.

"Kerjasama ini adalah untuk mengesan penyebaran maklumat berkaitan keganasan membabitkan Daish," kata beliau.