Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan caj visa bagi pelancong China yang berkunjung ke Malaysia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sebahagian inisiatif bagi menggalakkan kembali pelancong China ke negara ini.

Beliau turut mengakui, terdapat pengurangan dari segi bilangan pelancong China ke Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan republik itu pada 1 hingga 7 Oktober lalu.

"Memang pelancong dari China perlu membayar visa dan sebagainya. Kita akui, ada kekurangan dari segi perkhidmatan ini yang perlu diperbaiki.

"Kita akan tentukan bahawa harga yang dibayar oleh mereka tidak terlalu tinggi dan kita akan tentukan pengeluaran visa ini lebih pantas dan cepat,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan berkenaan usaha kerajaan dalam menggalakkan semula pelancong China ke negara ini.

Tambah Dr Mahathir, ada kalanya pelancong akan berkurangan dan ada kalanya meningkat, di mana katanya, kerajaan ketika ini sedang berusaha mengatasi beberapa masalah yang berlaku.

Sementara itu dalam isu berkaitan, Dr Mahathir berkata Malaysia sehingga kini belum menerima kesan ketara susulan 'perang' perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, kerajaan sedar ia mungkin memberi kesan kepada negara namun ia juga dilihat boleh memberi faedah yang baik kepada Malaysia.

"Jikapun ada kesan, kita harap ia adalah dengan cara pemindahan pelaburan Amerika Syarikat di negara China ke Malaysia.

"Jadi, ada kemungkinan kita mendapat sedikit kebaikan daripada perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai sama ada Malaysia terikat dengan China atau Amerika Syarikat atau mengamalkan dasar berkecuali dalam soal perang perdagangan tersebut.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan Pakatan Harapan mempunyai dasar tidak campur tangan dalam apa jenis peperangan sama sekali.