Gamis desak Pengerusi PTPTN letak jawatan

Gamis desak Pengerusi PTPTN letak jawatan
Muhammad Faizuddin bersama lebih 200 mahasiswa dalam Himpunan Tuntut Janji PTPTN petang tadi. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan didesak meletak jawatan kerana didakwa gagal menunaikan janji berkaitan pinjaman pendidikan itu yang dibuat dalam Manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd Zai mempersoalkan polisi bayaran balik pinjaman PTPTN yang diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Semua mahasiswa bersepakat untuk dia (Wan Saiful) letak jawatan, kerana dia berkeras untuk tidak melaksanakan janji yang diletakkan di dalam manifesto dengan alasan yang tidak munasabah," kata beliau.

Muhammad Faizuddin ditemui media selepas berarak bersama lebih 200 mahasiswa dari Masjid Jamek ke Ibu Pejabat PTPTN dalam Himpunan Tuntut Janji PTPTN, di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, hari ini.
Mereka mengenakan pakaian serba hitam dan mengikat tali di kepala serta membawa kain rentang dan sepanduk yang tertera menulis "Tuntut janji PTPTN" dan melaungkan "hidup mahasiswa", "bangkit mahasiswa" serta "tolak kezaliman".


Selain Wan Saiful, mereka turut mendesak Menteri Pendidikan Maszlee Malik meletak jawatan.

Perarakan yang bermula pada 12.30 tengahari itu juga juga telah menyebabkan jalan raya menjadi sesak di sepanjang laluan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah mengesahkan akan memanggil penganjur himpunan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Tiada notis diberikan kepada polis. Kita akan ambil tindakan mengikut APA 2012,” katanya.

Pada 17 November lalu, PTPTN dilaporkan mengakui tidak mampu menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata cadangan penangguhan pembayaran semula itu bakal memberi kesan buruk kepada institusi berkenaan bagi jangka masa panjang.


Tag: Wan Saiful Wan Jan, Muhammad Faizuddin Mohd Zai, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Gamis, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN, pinjaman pendidikan, manifesto, Himpunan Tuntut Janji PTPTN


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.