Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di ibu negara, Petaling, Klang dan Shah Alam akan pulih secara berperingkat setelah paip pecah di belakang bangunan Sekolah Antarabangsa ELC, Jalan Sierramas Barat, Sungai Buloh siap dibaiki.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataannya berkata kerja-kerja pembaikan itu selesai pada pukul 7. 45 malam tadi.

Menurut kenyataan itu, pemulihan bekalan air ke premis yang terletak di kawasan tinggi dan hujung sistem agihan akan mengambil sedikit masa.

Pengguna boleh memohon bekalan air bantuan dengan menghantar SMS ke 15300 (taip: Tanker nama dan alamat).

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kerja pembaikan itu, orang ramai boleh merujuk www.syabas.com.my dan aplikasi telefon pintar "mySyabas".

-- BERNAMA