Sebahagian kawasan Kuala Pilah dan Jempol akan mengalami gangguan bekalan air sementara selama sehari bermula 8 pagi pada 6 Ogos sehingga 8 pagi, 7 Ogos.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata gangguan tersebut berikutan kerja-kerja penyelenggaraan sistem elektrik dan sistem pengoperasian di Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Jelai di Bahau, Jempol.

"Di Kuala Pilah, gangguan melibatkan seluruh kawasan di Ulu Jempol, Juasseh, Seri Menanti, Ampang Tinggi, Kepis, Johol, Melang dan sebahagian kawasan di Ulu Yoh (Daerah Tampin).

"Di Jempol pula melibatkan Kampung Batu Peti, Rumah Rakyat Rompin, Taman Melor Rompin, Kampung Baru Rompin dan sekitar Pekan Rompin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norzita berkata bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat, bagaimanapun beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh pembaikan yang lebih lama.

Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982.

-- BERNAMA