Gangguan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor semakin beransur pulih

Gangguan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor semakin beransur pulih
GAMBAR FAIL: Penduduk setempat sedang mengambil air daripada lori Air Selangor untuk kegunaan harian ketika tinjauan fotoBernama mengenai gangguan bekalan air sekitar Ukay Perdana. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air berjadual susulan aktiviti penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRASSP2), semakin beransur pulih dengan lebih 50 peratus pengguna yang terjejas dengan gangguan itu, sudah memperoleh bekalan air seperti biasa setakat pukul 6.00 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Abdul Raof Ahmad dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang berusaha mengambil segala tindakan perlu dalam meningkatkan paras kolam perkhidmatan yang terlibat.
"Pihak kami sedang berusaha menstabilkan tekanan dan aliran air di dalam sistem agihan serta mempercepatkan pemulihan bekalan air kepada semua pelanggan yang terjejas," katanya.

Syabas memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas dan pelanggan akan diberikan status terkini usaha pemulihan dari semasa ke semasa melalui www.syabas.com.my, Facebook "Air Selangor", Twitter@air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Untuk bantuan bekalan air kecemasan, hantar SMS Tanker Alamat> ke 15300 atau WhatsApp ke: 019-281 6793 atau 019-280 0919.

Henti tugas LRA SSP2 yang bermula semalam dikatakan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan seperti di Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor.

-- BERNAMA

Tag: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Air Selangor, LRASSP2, Gangguan bekalan air, bekalan air Lembah Klang, Selangor, Syabas


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.