KUALA LUMPUR:Bekalan air di semua kawasan di tujuh wilayah yang terjejas akibat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua 1,292 kawasan yang terjejas telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi Khamis.

Air Selangor juga mengucapkan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.



Pada Isnin, berlakunya satu lagi insiden pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor.

Susulan itu, arahan henti tugas telah dikeluarkan untuk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

BACA: Punca sebenar pencemaran belum diketahui - Air Selangor

Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan.

Ia melibatkan pengguna di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata lebih 20 kakitangan penguatkuasaan yang profesional dijangka dilantik dalam masa terdekat dalam usaha mengekang insiden pencemaran air di Selangor.


BACA: Memadaikah guna dron pantau pencemaran sungai?


Menurutnya, pihaknya telah mengarahkan unit Pakar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pasukan Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menambah pegawai dan kakitangan kontrak bagi meningkatkan kawalan.