Pengguna internet di Malaysia lebih baik berbanding pengguna internet di negara lain secara purata dunia.

Mengulas mengenai satu kajian yang dikeluarkan oleh Microsoft baru-baru ini, Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin berkata rakyat di negara ini masih menggunakan internet secara positif.

“Kalau dibandingkan dengan kadar global, Malaysia berada di kedudukan pertengahan.

"Ia jelas menunjukkan masih ada golongan yang menggunakan khidmat atas talian atau internet dengan cara yang positif,” jelas beliau yang juga Pengerusi Biro Kepenggunaan Pemuda UMNO.

Bagaimanapun, menurut beliau, masih ada ruang untuk memperbaiki kedudukan tersebut dengan penguatkuasaan yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar rakyat Malaysia lebih berhemah ketika berinteraksi di internet.

Kajian Indeks Kemadanian Digital Tahunan Kedua (DCI) itu menunjukkan Malaysia memperoleh sembilan mata lebih rendah berbanding purata dunia dari segi pendedahan kepada risiko dalam talian.

Laporan itu menunjukkan, 28 peratus rakyat Malaysia terdedah kepada gangguan seksual di internet di mana 29 responden mendakwa mengenali pemangsa yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Kajian yang melibatkan remaja 13 hingga 17 tahun dan orang dewasa 18 hingga 74 tahun itu turut menyatakan, 22 peratus rakyat Malaysia pernah dibuli dalam talian, manakala 20 peratus pernah ditipu melalui internet.

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar ketika dihubungi Astro AWANI berpendapat, gangguan seksual merupakan ancaman keselamatan yang tidak boleh diambil mudah kerana ia adalah sejenis bentuk perlakuan jenayah dan penderaan mental.

“Di Malaysia, kita dapati bahawa gangguan seksual tidak diambil berat kerana ia dianggap ia satu perkara yang biasa sahaja.

“Tetapi mereka lupa bahawa gangguan seksual ini merupakan salah satu bentuk penderaan yang boleh dihukum di bawah akta kanun keseksaan dan boleh dibicarakan,” kata Pengerusi Transparency International Malaysia (TI-M) itu.

Menurut Akhbar, masyarakat perlu bersuara dalam hal ini bagi mengelak ancaman siber menjadi menjadi semakin serius sehingga mengancam keselamatan masyarakat.

Kajian Universiti Malaya yang melibatkan tinjauan sentimen di 12 kawasan Parlimen mendapati isu jenayah dan keselamatan adalah perkara kedua yang amat dikhuatiri ketika ini selepas isu gaji dan peluang pekerjaan.

Sementara laporan daripada IPSOM pula menyatakan isu jenayah dan keganasan adalah isu keempat paling dikhuatiri rakyat Malaysia selepas isu kawalan imegresen, tadbir urus dan pengangguran.