Seorang pekerja salun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mengugut dan mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau gara-gara ditegur supaya menjaga kebersihan dapur.

Tertuduh, Christina Foo Yen Nie, 22, dari Kemaman mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika dua pertuduhan mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan seksyen 324 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dibacakan di hadapan majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Nurbati, 43, di sebuah rumah di Wisma Yien Tien Jalan Balik Bukit, di sini, jam 8.18 malam pada 29 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor Miky Dusntan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.