Seorang lelaki berusia 62 tahun maut akibat dipukul oleh adik iparnya sendiri selepas dipercayai mengejut suspek dari tidur dan menghalaunya keluar daripada rumahnya di Menglembu, awal pagi tadi

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, mangsa ditemui maut ditempat kejadian sekitar 3.15 pagi selepas dipercayai dipukul oleh suspek berusia 69 tahun tersebut dengan menggunakan batang penyapu dan payung sehingga patah.

"Suspek merupakan saudara kepada mangsa yang tinggal di Falim dan dipercayai telah tinggal bersama sejak sebulan lalu dan sering berselisih faham sejak itu.

"Punca kejadian disebabkan mangsa kejut suspek yang sedang tidur di dalam rumah dan menghalau keluar dari tinggal bersamanya.

"Terdapat kesan pukulan di bahagian belakang atas punggung sehingga ke belakang badan mangsa disyaki dipukul menggunakan batang penyapu dan payung serta kesan kecederaan di bahagian muka, bahagian pipi kanan dan kiri, serta kelopak mata kiri (disyaki dipukul dengan payung dan terjatuh)," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sebelum penemuan mayat mangsa, suspek telah ke Balai Polis Menglembu dan memaklumkan kepada anggota terdapat pergaduhan di satu lokasi kejadian di mana dia dan cucunya telah dipukul.

"Pada mulanya, suspek beritahu ada orang bergaduh dan beliau dan cucunya telah dipukul lalu anggota polis ke lokasi kejadian dengan dipandu arah oleh suspek sendiri. Tetapi selepas sejam kemudian, masih belum menjumpai lokasi kejadian dan pulang semula ke balai.

"Kemudian polis meminta bantuan anggota berbangsa sama dengan suspek. Setelah disoal siasat, suspek bawa anggota polis ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa telah terbaring di lokasi kejadian," ujarnya.

Mohd Ali memberitahu semakan dengan Hospital Tanjung Rambutan Ipoh juga mendapati suspek pernah dirawat di hospital itu pada tahun 1990an.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.