Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak dengan sebatang cangkul oleh jirannya dalam kejadian di Kampung Manggis, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek yang didakwa telah merosakkan kotak fius elektrik dan paip air rumahnya.

Suspek yang ketika itu sedang memegang cangkul memaki hamun mangsa sebelum bertindak menghayun cangkul berkenaan ke arah tubuh mangsa dan terkena tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor memaklumkan polis menerima maklumat berhubung kejadian itu dari isteri mangsa yang membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian dan lelaki berusia 34 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di tangan kanan.

Semasa kejadian terdapat isteri dan dua anak perempuan mangsa.

Difahamkan, sebelum kejadian tetak itu berlaku mangsa telah membuat laporan polis kerana suspek mengugut hendak mencederakan menggunakan sebilah parang dan dipercayai terdapat perselisihan faham antara mereka sebelum ini.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan doktor mendapati tangan kanan lelaki itu luka dan retak akibat kejadian tersebut.

Noorzainy berkata susulan kejadian itu, polis menahan suspek di Kampung Manggis pada jam 11 malam tadi dan merampas sebatang cangkul yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan.