Akibat mudah percaya orang lain, seorang pesara guru kerugian wang simpanan sebanyak RM25,000 di Pekan, pada Selasa.

Beliau mendakwa dipukau oleh tiga lelaki yang dikatakan menjual batu permata yang mempunyai banyak khasiat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 78 tahun berada di Pasar Besar Pekan, sebelum didatangi salah seorang suspek.

"Suspek dikatakan mahu mencari kenalannya bernama Haji Yusof kerana ingin memberikan batu permata. Pada masa sama, datang pula seorang lelaki lain yang dipercayai rakannya dan mereka menunjukkan mangsa satu barang yang diperolehi daripada kubur di Melaka.

"Barang berkenaan mahu dijual kepada rakannya dan suspek memberitahu nilai barang berkenaan adalah RM100,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian bersama dua suspek dibawa ke Taman Tasuk Sultan Abu Bakar, Pekan untuk bertemu dengan seorang rakan suspek yang lain sedang menunggu di situ.

"Dalam pertemuan itu, mangsa ditunjukkan demonstrasi khasiat batu permata berkenaan di mana salah seorang daripada mereka memasukkan batu permata di dalam berkas berisi air dan mangsa mendapati batu permata itu mengeluarkan cahaya merah.

"Setelah terpedaya dengan pertunjukan demonstrasi khasiat batu permata berkenaan, suspek menyuruh pengadu untuk mengeluarkan wang tunai sebanyak RM25,000 untuk membeli batu permata itu.

"Seterusnya mangsa bersama salah seorang suspek kemudian pulang rumah mangsa untuk mengambil buku akaun Tabung Haji dan Bank CIMB. Mangsa kemudian mengeluarkan wang tunai RM25,000 di tiga buah institusi kewangan berlainan," ujarnya.

Suspek kemudian meminta mangsa untuk pergi ke Masjid At-Taqwa bagi menunaikan solat hajat untuk keberkatan barang yang dijual dan barang itu diserah kepada mamgsa.

"Selepas solat hajat, mangsa tersedar dan mencari kesemua suspek, namun mereka sudah tiada. Kita masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.