Pembentukan Garis Panduan Khas Untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Di Malaysia merupakan satu lagi langkah positif yang diambil dalam memastikan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat ditangani secara efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kali pertama satu Garis Panduan Khas secara bersepadu diwujudkan bagi agensi yang terlibat dalam pengedalian kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak.

Katanya, Garis Panduan Khas ini diharapkan dapat membantu pihak-pihak yang terlibat mendapatkan maklumat berkaitan pengedalian kes jenayah seksual kanak-kanak serta meletakkan keutamaan dan perlindungan terbaik kanak-kanak.

Kanak-kanak selaku mangsa penderaan seksual sering mengalami trauma sebagai salah satu kesan psikologi. Umumnya menurut kajian, kesan trauma yang sering yang sering dilaporkan ialah mangsa sering merasa malu dan menyalahkan diri serta menjauhi segala bentuk interkasi sehingga ada yang takut untuk melaporkan kejadian yang dialami kepada sesiapa.

"Justeru itu, dengan adanya garis Panduan Khas ini, ianya sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan dan bantuan kepada mangsa kanak-kanak dalam memahami prosedur dan pengedalian kes yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Garis Panduan Khas itu.

Melalui Garis Panduan Khas ini juga mangsa kanak-kanak dapat mengetahui tatacara pengendalian saksi di Mahkamah Khas yang telah ditubuhkan di mana pengedalian saksi melibatkan kanak-kanak di Mahkamah Khas ini adalah berbeza daripada Mahkamah biasa.

Perlindungan secara total diberikan kepada mereka terutamanya daripada orang kena tuduh atau si pelaku jenayah tersebut.

Buku setebal 103 muka surat itu mengandungi empat topik utama meliputi 10 bab yang mana setiap topik diketuai oleh pihak-pihak yang pakar dalam bidang masing-masing.

Topik-topik itu terdiri daripada:

1. Topik Penerimaan Laporan Dan Siasatan diketuai oleh Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM);

2. Topik Perbicaraan diketuai oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan

3. Topik Pengendalian Mangsa / Saksi Kanak-Kanak diketuai oleh Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC); dan

4. Topik Khidmat Perlindungan Dan Sokongan Kepada Saksi/Mangsa Kanak-Kanak diketuai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).