Persatuan Optometris Malaysia (AMO) telah menghasilkan Garis Panduan Pengamalan Kanta Lekap untuk kegunaan para profesional penjagaan mata yang ditauliahkan Majlis Optik Malaysia (MOC).

Presiden AMO Murphy Chan berkata garis panduan itu bertujuan melindungi pengguna daripada kanta lekap bermutu rendah yang mudah didapati daripada sumber haram.

"Dengan bantuan Kementerian Kesihatan, kami berharap pihak penguatkuasaan memantau dan bertindak terhadap sebarang salah laku bagi meningkatkan lagi kualiti penjagaan mata di Malaysia," katanya semasa berucap pada siri jelajah 'Jom Jumpa Optometris!' di sini, Sabtu.

Beliau berkata garis panduan itu dapat membantu para profesional penjagaan mata membuat penilaian dan diagnosis terperinci sebelum memberi preskripsi kepada pengguna kanta lekap.

Ia mengandungi empat langkah penting dalam pemakaian kanta lekap.

Garis panduan itu, yang antara lainnya mengandungi prosedur pemadanan kanta lekap, prosedur pendispensan kanta lekap, prosedur pemeriksaan pascapenjagaan kanta lekap dan penambahan kanta lekap, boleh diperoleh orang ramai pada penghujung tahun ini.

Siri jelajah itu dirasmikan Pengarah Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan Dr Ahmad Razid Salleh.

Dr Ahmad Razid, dalam kenyataan yang dikeluarkan AMO, berkata rakyat Malaysia terdedah kepada masalah mata berikutan wujudnya kanta lekap palsu.

"Pengguna tidak menyedari bahaya akibat pemakaian kanta lekap palsu... perlunya langkah mewujudkan kesedaran tentang bahaya kanta lekap seperti itu," katanya. -- BERNAMA