Perincian sumbangan RM1 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang Mac lalu perlu dibuat untuk memastikannya tidak disalah guna pihak tertentu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, rakyat perlu dimaklumkan dalam konteks bila sebenarnya ianya dikurniakan dan sama ada amanah itu sampai kepada tujuan asalnya.

"Perbelanjaan wang sumbangan ini perlu dilihat telus supaya tiada terdapat kemusykilan ianya digunakan bagi tujuan lain memandangkan tragedi berlaku semula buat kali kedua tanpa kawalan yang lebih rapi.

"Kita minta perincian ke atas sumbangan kurnia itu. Bagaimanakah ianya digunakan. Kalau ada pembelian jentera, sila buktikan. Tolong maklumkan kalau ada dibayar untuk menampung kekangan bajet jabatan kepada pegawai-pegawai melawat tapak kilang untuk pemeriksaan setiap tahun sebelum lesen diperbaharui.

"Kita mahu laporan perinciannya kerana dimaklumkan mangsa tidak mendapat apa-apa pampasan dari musibat yang menyebabkan pencemaran ini," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

BACA: Gas beracun: Kenal pasti dalang insiden Pasir Gudang - Tun Mahathir

BACA:
Pencemaran Pasir Gudang: Kes sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim - Timbalan Menteri

Sebelum ini, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah juga bertitah, sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.

Dalam pada itu kata Tengku Putra, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor juga perlu jujur dan berani memainkan peranan bagi mencari dan mendedahkan dalang yang berselindung di sebalik insiden gas beracun yang menyebabkan puluhan menjadi mangsa.

Jelasnya, jawatankuasa kerja yang telah diaktifkan oleh Kerajaan Negeri Johor juga perlu mengambil serius perkara itu dan memastikan mereka benar-benar berfungsi.

"Syarikat-syarikat tersebut perlu diaudit dan disiasat sama ada mereka mengikut piawaian alam sekitar untuk melupuskan sisa berjadual mereka.

"Pemeriksaan terhadap kilang-kilang ini sememangnya wajib dilakukan sebelum lesen mereka diperbaharui setiap tahun.

"Tindakan yang tegas perlu di ambil bagi mana-mana syarikat yang didapati melanggar piawaian pembuangan sisa pepejal ini," katanya.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu berlaku selepas hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Jelas Tengku Putra, mangsa yang terdiri daripada pelajar juga harus mendapat pembelaan yang mana kelas tambahan dan tuisyen sewajibnya diberi di samping kelas-kelas gantian kerana sekolah ditutup.