Gejala penggunaan rokok elektrik di negeri ini dilihat semakin berleluasa dan perkara itu kian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarat.

Lebih utama, larangan yang dikeluarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2015 lalu berhubung pengharaman penjualan peranti dan cecair vape seakan telah dilupakan apabila ada di antara peniaga kini semakin berani memasarkannya secara terbuka.

Pengerusi Persatuan Pemuda Puteri Melayu Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, perkara itu perlu diambil serius selain boleh menjadi lebih parah sekiranya tidak dibendung dengan secepat mungkin.

"Salah satu situasi yang kita boleh lihat secara jelas adalah di Pasar Borong Pandan. Di situ kita boleh lihat ramai pengguna vape ini menghisap di khalayak ramai. Malah penjualan barangannya turut dibuat secara terbuka.

"Persoalan terbesar sekarang, di mana penguatkuasaan? Secara peribadi saya rasa jika perkara ini diketahui Tuanku Sultan, semestinya baginda akan merasa kecewa dan terkilan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Mohd Ridhwan berkata, pihaknya percaya larangan yang dikeluarkan Sultan Johor itu mempunyai sebabnya tersendiri iaitu hanya mendatangkan mudarat kepada pengguna dan orang di sekelilingnya.

"Kita semua ketahui rokok elektronik atau vape mempunyai kesan sampingan sama ada kepada penghisap mahupun orang sekeliling. Kandungan bahan kimia seperti propylene glycol, glycerin, bahan perasa, kehadiran logam berat dan partikel ultra halus boleh membahayakan kesihatan.

"Propylene glycol juga boleh menyebabkan iritasi kepada mata, tekak dan saluran pernafasan manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan penyakit asma," katanya.

Tambahnya lagi, penggunaan vape yang berlebihan juga boleh menjadi punca bermulanya tabiat merokok dan gejala penyalahgunaan dadah moden dalam kalangan masyarakat.

"Sebuah kajian menunjukkan bahawa remaja dan belia yang tidak pernah merokok tembakau tetapi menggunakan vape adalah 8.3 kali ganda lebih cenderung menghisap rokok tembakau selepas setahun berbanding mereka yang tidak pernah menghisap vape.

"Selain itu, peranti vape juga boleh disalahgunakan apabil keupayaannya yang boleh melarutkan apa-apa dadah seperti ecstasy, amphetamines dan methamphetamines di dalam cecair vape . Secara tidak lansung penyalahgunaan dadah akan berlaku," katanya.

Justeru, pihaknya yang turut mewakili gagasan Muafakat Pendidikan Johor memohon kepada pihak yang bertanggungjawab serta kerajaan kini supaya dapat mengekang aktiviti tidak bermoral ini dengan lebih serius.