Seorang eksekutif kanan di daerah ini yang 'gelap mata' selepas ditawarkan tiket bernilai RM1.8 juta kerugian RM240,005 diperdaya seorang kenalan yang baharu dikenali di laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa wanita berusia 59 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama Rentak Selasih di dalam Facebook pada November tahun lalu.

"Pada mulanya mangsa hanya berminat dengan hasil puisi yang diletakkan di dalam Facebook berkenaan sebelum dihubungi suspek pada Disember lalu.

"Pada masa yang sama, suspek menawarkan penjualan tiket loteri berharga RM2,000 dan mangsa akan mendapat keuntungan sebanyak RM1.8 juta," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan tiket loteri itu, mangsa perlu membuat beberapa bayaran yang dikenakan oleh suspek sebelum membuat 47 transaksi ke sembilan akaun bank yang diberikan oleh lelaki itu.

"Suspek membuat pelbagai helah supaya mangsa memasukkan duit yang diminta menjadikan jumlah keseluruhan wang yang sudah dipindahkan sebanyak RM240,005.

"Kebanyakkan adalah untuk tujuan peribadi seperti suspek mendakwa dia dimasukkan ke dalam wad sebelum mangsa yang kesian memasukkan sejumlah wang untuk membantu," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak memperoleh pulangan seperti yang dijanjikan oleh suspek sebelum wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.