Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah meminta maaf kepada bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad kerana menggelarnya pengkhianat pada satu sidang media pada Selasa.

Menurut Dzulkifli, Mohd Shukri telah menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp pagi tadi dan meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan itu di hadapan ratusan pengamal media.

“Beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sesi sidang media tersebut semalam.

“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau. Kami berdua menyifatkan isu ini telah pun selesai,” katanya dalam kenyataan kepada Astro AWANI hari ini.

Mohd Shukri pada sidang medianya menganggap Dzulkifli sebagai pengkhianat kerana cuba melindungi salah laku dalam kes SRC International.

Katanya, sebagai individu berlatarbelakangkan undang-undang dan bekas timbalan pendakwa raya, Dzulkifli sepatutnya menguatkan siasatan kes itu dan bukannya melindungi pesalah.

Dzulkifli dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan, tuduhan Mohd Shukri tersebut sangat berat yang dilemparkan ke atas dirinya sepanjang 25 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi.

"Dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘pengkhianat negara’," katanya lagi.

Dzulkifli, 50 tahun, pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 secara pertukaran sementara.

Beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mohd Shukri dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada Isnin minggu lepas oleh perdana menteri bagi menggantikan Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan dan kembali ke Pejabat Peguam Negara.