Usaha mendapatkan penjelasan berhubung populasi babi hutan di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 mencetuskan kekecohan sehingga persidangan terpaksa ditangguhkan awal 14 minit sebelum sesi rehat.

Hiruk-pikuk di sidang berkenaan ibarat ‘pasar borong’ mula tercetus apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Klebang, Gue Teck membangkitkan soalan tambahan bilakah operasi menembak babi hutan selesai.

Serentak soalan itu ditanya, beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) mencelah dan mendakwa soalan tambahan berkenaan tiada kaitan dengan soalan asal.

Keadaan menjadi semakin riuh apabila Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sepatutnya menjawab soalan berkenaan mula mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bermulanya pertikaman lidah antara beliau dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron.

Pertikaman lidah itu terus meruncing apabila Idris mendesak kerajaan negeri untuk lebih sensitif berhubung isu migrasi babi hutan dari Sumatera, Indonesia memandangkan isu itu melibatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

“Masalah babi hutan ini sudah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang mana mereka (Indonesia) marah isu babi pun mahu dikaitkan dengan mereka.

“Tengok ini speaker, macam ini ke cara Exco kerajaan negeri menjawab soalan. Terang-terangan merendahkan taraf dewan Melaka,” tegas Idris

Norhizam yang memang terkenal dengan gelaran ‘YB Gengster’ kemudian mempertahankan dakwaan wujud migrasi haiwan liar itu dengan memaklumkan sehingga Oktober tahun ini sebanyak 479 babi hutan telah ditembak dalam operasi yang dijalankan secara berkala.

Hujahannya itu kemudian menerima ‘sorakan’ hebat daripada ahli dewan sebelum suasana semakin riuh.

Ekoran itu, speaker DUN Datuk Omar Jaafar terpaksa mengambil keputusan menangguh sidang dewan 14 minit awal.

“Saya isytiharkan YB memang juara penembak babi,” selorohnya sambil menerima tepukan sidang dewan.