Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akui berasa gementar tatkala melangkah masuk ke Kementerian Pertahanan di sini pagi tadi.

Dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad akui perlu menerima kehidupan berprotokol setelah dilantik memegang portfolio yang disifatkannya sebagai sangat penting itu.

“Saya selalu hidup dengan rakyat, kini perlu terlalu ikut protokol, benda baharu. Saya kena membiasakan diri dengan kehidupan baharu ini tetapi tidak mahu ubah gaya Mat Sabu.

“Selain itu saya perlu menjaga perasaan, dalam negara serta negara jiran perlu dilihat, sebab saya sekarang ini bukan hanya presiden parti (Amanah) tetapi juga sebagai Menteri Pertahanan.

“Jadi perkara ini perlu lebih hati-hati dan cermat kerana sebarang percakapan akan dilihat oleh kawan dan lawan dalam politik sama ada dalam negara atau antara negara lain,” katanya.

Berhubung perancangannya selepas ini, Mohamad memberitahu tempoh seminggu ini akan dimanfaatkan untuk mendengar taklimat daripada pelbagai sektor pentadbiran dan ketenteraan sebelum merangka pelan hala tuju kementerian di bawah pentadbirannya

Beliau sebelum itu tiba pukul 9.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Ahli Parlimen Kota Raja itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau kemudian mengetip kad perakam waktu di ruang lobi kementerian pada pukul 9.40 pagi.

Beliau kemudian memasuki pejabatnya di aras lima dan menandatangani nota terima tugas jawatan Menteri Pertahanan.