Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia, pada 6.55 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa itu berpusat di 1,760 km tenggara Semporna, Sabah, dan tidak membawa ancaman tsunami.

Dalam kenyataan media berasingan, jabatan itu memaklumkan angin kencang Barat Daya berkelajuan 40-50km sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan Phuket, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan bermula esok sehingga Jumaat depan.

Fenomena sama juga diramalkan berlaku di kawasan perairan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bermula Selasa sehingga Jumaat.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut kenyataan itu.