Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan bahawa kesemua 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di lapan buah universiti di Christchurch selamat susulan gempa bumi kuat yang melanda Pulau Selatan New Zealand.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand telah menghubungi kesemua wakil pelajar yang menuntut di lapan universiti terbabit selepas kejadian dan mendapati kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Education Malaysia di New Zealand juga menasihati pelajar-pelajar Malaysia agar sentiasa peka dan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam New Zealand.

BACA: Dua terbunuh dalam gempa bumi 7.8 magnitud di New Zealand

BACA: Sentiasa waspada, nasihat Najib kepada rakyat Malaysia di New Zealand

FOTO: Gempa bumi kuat landa New Zealand

Pada Ahad, gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter melanda South Island pada pukul 7.02 malam iaitu 92km timur laut dari bandar Christchurch.

Satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda kawasan tersebut pada pagi Isnin.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia yang terkorban setakat ini.

Bagaimanapun, kementerian masih sedang memantau situasi tersebut dan menyeru sesiapa yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di talian kecemasan 00-64-210440188, telefon 0-64-4-385 2439/ 00-64-4-801 5659, emel di [email protected] atau hubungi talian Wisma Putra di 03-8887 4530 / 03-8887 4570.

Rakyat Malaysia di Wellington juga boleh menghubungi konsular di 10 Washington Avenue, Brooklyn, P.O. Box 9422, Wellington 6141 New Zealand.