Seramai 17 mangsa gempa bumi rakyat Malaysia di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia selamat pulang dengan menaiki penerbangan AirAsia AK309 hari ini.

Mereka tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 3.15 petang.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Mayat mangsa bencana tersebut, mendiang Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah pula dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.10 petang dengan pesawat Garuda Indonesia GA816 diiringi ahli keluarga.

Sementara itu, empat lagi mangsa warga Malaysia masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha hubungan dua hala kementerian Luar, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan tarikh untuk membawa pulang empat lagi rakyat Malaysia.

Berdasarkan rekod, beliau mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang terlibat dengan kejadian tersebut telah dikenal pasti dan diberi bantuan.

Nurshirwan juga menegaskan Pesuruhjaya Tinggi dan kerajaan Malaysia bersama agensi-agensi kerajaan lain sentiasa memberi tumpuan khusus kepada isu-isu kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan khabar angin dan memutar-belit fakta sehingga mencetuskan panik dalam kalangan rakyat negara ini.

“Dalam situasi tragis begini, kita rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia dan personaliti-personaliti ternama seharusnya melihat Malaysia sebagai satu pasukan untuk membantu rakyat Malaysia yang terbabit, tak kiralah di mana mereka berada dan terbabit dengan tragedi seperti gempa bumi atau insiden tembakan di Christchurch.

“Kena berlaku adil dan sensitif kepada keluarga dan mangsa yang terlibat dalam insiden sebegini,” kata Nurshirwan ketika ditemui pemberita di KLIA2, pada Selasa.

Mereka adalah kumpulan 28 pelancong Malaysia yang tiba di Lombok 14 Mac lepas dengan 22 daripadanya beriadah di Air terjun Tiu Kelep Senaru Lombok utara pada hari kejadian.

Difahamkan kesemua mereka menyertai aktiviti perjumpaan semula bersama rakan dari Sekolah Menengah Jementah, Segamat, Johor.