Tutup

Gempa Lombok: Dua korban rakyat Malaysia dibawa pulang esok

Gempa Lombok: Dua korban rakyat Malaysia dibawa pulang esok
Dua yang terkorban ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi wanita, dikenali sebagai Lim Sai Wah. - Gambar fail
JAKARTA: Dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa di Lombok semalam dijadual dibawa pulang pagi esok.

Atase Polis Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob berkata jasad kedua-dua mendiang akan dibawa menaiki pesawat jam 9.40 pagi, lapor Bernama.

"Jenazah akan diterbangkan esok dengan pesawat Garuda jam 9.40 pagi dari Lombok. Transit di Jakarta dan dijadual berlepas ke Kuala Lumpur jam 13.30 petang," katanya.

Dua yang terbunuh itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi wanita, dikenali sebagai Lim Sai Wah.
Abu Bakar berkata perancangan awal ialah membawa pulang kedua-dua jasad mendiang itu hari ini, namun dijadualkan esok atas sebab-sebab tertentu.

"Pihak hospital Lombok akan lakukan bedah siasat petang ini, manakala anggota keluarga mangsa juga dijangka baru sampai petang ini.
"Jenazah akan dibawa balik esok, kos membawa balik akan ditanggung ejen pelancong terbabit serta pihak berkuasa Indonesia dan syarikat penerbangan Garuda," katanya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan berkata proses untuk membawa pulang jasad mendiang dua rakyat Malaysia itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama pihak hospital (Rumah Sakit Umum Daerah - RSUD Mataram) dan pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Kedutaan Malaysia di Lombok juga sedang menyelaras dengan anggota keluarga bagi memastikan kelancaran urusan membawa pulang kedua-dua jasad tersebut, yang dijadual tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan melalui Jakarta, esok.



Tag: New Zealand, Lombok, pelancong, rakyat Malaysia, gempa lombok, air terjun, Abu Bakar Yaacob, pesawat garuda, Sin Chew Daily, Tai Siew Kim



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.