Jabatan Imigresen menahan 89 warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas serta tidak mempunyai permit dalam Operasi Mega 3.0 (Ops Gegar) di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini, pada Sabtu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata mereka yang terdiri daripada 73 wanita dan 19 lelaki itu ditahan anggota Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen.

"Antara aktiviti yang djalankan wanita warga asing dipremis itu ialah bekerja sebagai penari dan menjadi gadis kalung yang mana mereka diberi tip bayaran antara RM 50 dan RM1,000.

"Wang tunai berjumlah RM2,140 dirampas serta empat warga tempatan yang disyaki bekerja sebagai pengurus premis dan juruwang turut ditahan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau berkata kenderaan membawa warga asing itu dari lokasi serbuan ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya telah diekori oleh beberapa kenderaan disyaki 'tonto'.

"Dua buah kenderaan (disyaki tonto) berjaya ditahan setibanya di ibu pejabat, sementara dua buah lagi kenderaan dipandu secara melulu dan cuba merempuh pegawai imigresen.

"Kejadian ini telah dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," katanya sambil menambah ke semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA