Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa sedih atas kepulangan ke Rahmatullah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang genap 42 tahun, pada hari ini.

"Dalam kesedihan, ada terpalit perasaan bangga bahawa Ayahanda meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara. Bagi saya, tiada pengorbanan lebih tinggi daripada itu. Al Fatihah," kata perdana menteri menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya.

Allahyarham Tun Razak, yang dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan Malaysia', meninggal dunia pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 22 Sept 1970.


Antara langkah pembangunan yang dilaksanakannya adalah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menekankan strategi serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan.

-- BERNAMA