Polis berjaya menumpaskan Geng Beliak yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan rumah kedai di sekitar Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang setelah menangkap empat lelaki pada Sabtu lepas.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang di Kampung Pengkalan Batu, Tasek Gelugor itu, tiga suspek berusia 24 hingga 32 tahun ditahan di sebuah rumah, manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun dicekup di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati kegiatan pecah rumah itu didalangi dua suspek, manakala dua lagi adalah pembeli barangan curi.

Hasil siasatan pihaknya mendapati dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan dan disyaki aktif sejak awal tahun ini.

"Modus Operandi mereka buat dengan memecah pintu belakang dan akan mengambil (curi) barang-barang. (Kumpulan ini) aktif sejak awal tahun ini dan percaya ada sembilan anggota. Mereka ditahan reman sehingga 31 Ogos untuk siasatan lanjut," kata Noorzainy pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas pada Khamis.


Tambah beliau, kesemua barangan yang dicuri itu akan dijual pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar dan kebanyakannya belum dijual.

Noorzainy berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah di sekitar daerah itu.

Polis turut menyerbu sebuah setor di Kampung Pengkalan Batu selepas penahanan suspek dan berjaya menemui semula beberapa barangan seperti telefon bimbit, televisyen, komputer riba dan rokok yang kesemuanya bernilai kira-kira RM30,000.

Turut dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah tersebut.

Selain itu, kesemua suspek yang positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, dadah dan curi direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.