Polis giat memburu dua lelaki warga asing dipercayai rakan subahat kepada geng warga Afrika yang ditembak mati dekat Ampang, di sini semalam.

Kedua-dua suspek dipercayai aktif dalam jenayah penipuan tukaran wang asing membabitkan kerugian lebih RM11.7 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim percaya pihaknya berjaya melumpuhkan salah satu geng samun yang aktif melakukan rompakan.

Menurutnya, modus operandi geng tersebut ialah membawa mangsa ke tempat menukar wang yang mana ketika dalam perjalan suspek akan berhenti ditempat sunyi dan menyamun mangsa.

“Kita percaya telah dapat melumpuhkan geng gagak hitam yang menggunakan modus operandi menyamun mangsa ketika ingin menukar wang secara gelap iaitu dengan kadar tinggi," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu, sepasukan polis cuba mengejar lima lelaki yang didakwa telah melakukan rompakan di Jalan Damai, Cheras.

Lelaki berkenaan cuba menyerang polis sehinggakan empat das tembakan terpaksa dilepaskan yang mengakibatkan suspek maut di tempat kejadian.

Mazlan memambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394/397 dan 307 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak menukar wang dengan cara begitu kerana ia mempunyai risiko tinggi.