Pasangan adik beradik antara enam suspek ‘Geng Jepun’ yang diberkas dan dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan mencuri kabel membabitkan tiga daerah di Terengganu.

Kesemua suspek itu diberkas sekitar jam 5.30 hingga 11 pagi di sebuah rumah pusaka yang dijadikan 'port’ bagi menjalankan aktiviti mereka menerusi Op Lusuh pada minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata kumpulan yang dianggotai tujuh lelaki ini menyasarkan kabel dan bateri pencawang syarikat telekomunikasi.

Menurut Fazlisyam dengan tertangkap kesemua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes kecurian kabel di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.

“Modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ni adalah mengarahkan dua suspek memotong kabel sama ada di bahagian atas atau di bahagian bawah pencawang lah.

"Manakala dua orang lagi akan bertindak untuk mengawal keadaan sekeliling untuk memastikan tiada siapa yang melihat aktiviti mereka ni sebelum membawa kabel yang telah dipotong ke sebuah rumah di Kampung Tasek, Marang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya turut memberkas seorang pembeli barangan lusuh yang berusia 42 tahun.

Menurutnya pihak polis juga turut merampas kira-kira 90 kilogram tembaga, 280 kilogram bateri yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000.

Katanya kesemua suspek yang berusia 21 hingga 42 tahun itu dipercayai aktif sejak tahun lepas.

Jelas beliau, pihaknya juga sedang memburu seorang lagi baki ahli kumpulan itu yang dikenali sebagai Kamaruddin Abdullah dan beralamat di Kampung Kubu, Marang.