Taktik menggunakan lokasi rumah inap atau homestay sebagai lokasi edar dadah sudah dihidu pihak berkuasa sejak kebelakangan ini, namun masih ada yang masih mahu 'mencuba nasib'.

Pada Selasa, muslihat kumpulan yang diberi gelaran 'Tiga Jahanam' yang aktif menjalankan kegiatan mereka di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan, dengan tertangkapnya tiga lelaki di sebuah homestay di Sungai Limau, bersama syabu seberat 36 kilogram.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaakob, dalam serbuan pada jam 1 pagi oleh sepasukan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, suspek yang berada di dalam rumah memberi reaksi bersahaja. seolah-olah tidak melakukan kesalahan.

Hasil pemeriksaan polis menemui dua kotak besar yang tertera serbuk pencuci, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Sebaik sahaja membuka kotak terbabit, anggotanya menemui 20 bungkusan berwarna hijau dan 15 bungkusan berwarna perak yang tertera tulisan 'teh herba' dan 'teh cina'.

"Di dalam bungkusan itu kita syaki merupakan ketulan kristal jenis syabu dengan anggaran berat bersamaan 15 kilogram," ujar Zainuddin.

Beliau berkata, kesemua 35 paket plastik dadah berkenaan dianggarkan 36,143 gram (36 kg) bernilai RM1.8 juta.

Kesemua rampasan dadah itu mampu menampung permintaan 36,000 penagih jika dijual setiap satu gram.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 38 hingga 40 tahun dan berasal dari Sungai Petani itu bekerja sebagai kontraktor dan pencuci kereta, manakala seorang lagi penganggur.

Hasil semakan rekod mendapati dua daripada mereka mempunyai rokod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Hasil saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif metamfetamin, manakala seorang lagi negatif.

Masing-masing ditahan reman tujuh hari mulai dari 17 hingga 23 Disember untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.