Ketika ini merupakan masa paling sesuai menggerakkan koperasi-koperasi petani di seluruh negara untuk mengusahakan projek-projek penghasilan makanan.

Langkah ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, kata Koordinator Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue) Nur Fitri Amir Muhammad.

Menurutnya, peruntukan RM1 bilion untuk Dana Jaminan Bekalan Makanan harus dilaksanakan segera.

Pada masa sama, ia harus menyokong agenda kedaulatan makanan, iaitu dengan mengangkat hak-hak petani, menjamin agroekologi dan kelestarian sistem bekalan makanan.

Begitu juga, ia perlu mempelbagaikan varieti tanaman dan biji benih, serta membantu mewujudkan pertanian berasaskan kelompok atau koperasi.

"Semua ini adalah untuk meminimakan impak kejutan krisis bekalan makanan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.



Nur Fitri juga menggesa isi rumah mengamalkan jimat cermat dan mula bercucuk tanam di kawasan perumahan.

"Pihak perbandaran juga perlu menyediakan kebun mini untuk komuniti di kawasan perumahan dan flat.

"Pihak perbandaran juga perlu mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan sumber benih dan anak pokok, input pertanian, tempat penyimpanan hasil dan pasaran lokal untuk menjual lebihan hasil atau 'food bank' untuk agihan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Katanya, strategi ini penting demi memastikan setiap keluarga dan komuniti ada perlindungan bekalan di peringkat lokal untuk menghadapi sebarang cabaran akan datang.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin dengan peruntukan RM64.4 juta.