Warga emas, Kamaruzzaman Abdul Halim, berharap program memerhati gerhana matahari anulus (cincin) di Taman Negara Johor Tanjung Piai, di sini akan dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk meminati bidang astronomi.

Kamaruzzaman, yang menganggap dirinya sebagai 'pengejar gerhana' berkata fenomena pada Khamis itu akan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengetahui lebih mendalam mengenai matahari, bulan, dan seluruh sistem angkasa raya.

"Ini kali ketujuh saya melihat gerhana. Kali pertama adalah di Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1983," kata pesara kerajaan yang berasal dari Subang, Selangor itu, ketika ditemui bersama ribuan yang berhimpun di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada Khamis, untuk program Solar Fest anjuran Planetarium Negara, khusus bagi memerhati kejadian gerhana matahari anulus, yang kali terakhir berlaku kira-kira dua dekad lepas.

"Saya rasa Planetarium Negara telah menganjurkan majlis memerhati gerhana ini dengan baik. Saya harap lebih ramai pemerhati, terutama dari kalangan generasi muda akan berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai astronomi.. ia merupakan 'ibu' kepada semua bidang pengajian sains," tambahnya.

Gerhana matahari anulus berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari dan disebabkan kedudukan bulan berada jauh sedikit daripada bumi serta saiznya yang sedikit kecil, ia tidak dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.

Kemuncak gerhana yang memperlihatkan umpama bentuk 'lingkaran cincin berapi' di angkasa pada Khamis berlaku pada pukul 1.21 petang selama kira-kira dua minit.

"Paling jauh saya pernah lihat gerhana ialah di Oregon, Amerika Syarikat pada tahun 2017. Menantu saya memandu sejauh 900 batu dari kediamannya di Los Angeles untuk membawa saya dan cucu saya melihat gerhana," kata Kamaruzzaman

Menurutnya beliau juga pernah melihat pembentukan 'lingkaran cincin berapi' itu 21 tahun yang lepas di Mersing.

Beliau berkata dengan melihat fenomena luar biasa itu, ia menjadikan beliau terasa lebih dekat dengan tuhan, dan sentiasa mengingatkan beliau mengenai kebesaran Allah.

"Ia sangat indah, berbaloi menunggu beberapa jam untuk menyaksikan kebesaran Allah," tambahnya.

-- BERNAMA