Gesaan supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran berikutan majoriti penganut Syiah di negara itu adalah tidak wajar dan tidak berasas, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata isu Syiah merupakan isu domestik yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa di negara ini.

Beliau berkata gesaan yang dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu tidak mencerminkan pandangan kerajaan Malaysia walau dalam apa cara sekalipun.

"Adalah menjadi dasar luar Malaysia untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara berlandaskan sikap saling menghormati untuk memupuk hubungan muhibah dan kerjasama dalam semua bidang yang berkepentingan demi manfaat bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada seminar "Mendepani Virus Syiah" di sini 8 Sept lepas, Wan Zahidi telah mengusulkan kerajaan menamatkan hubungan diplomatik dengan Iran dalam usaha mengekang penularan fahaman Syiah daripada tersebar meluas di negara ini.

Anifah berkata dalam usaha untuk memperkukuh dan memperluas skop serta keakraban hubungan Malaysia dengan negara lain, adalah menjadi amalan Malaysia untuk berinteraksi dengan semua negara yang menjadi rakan kongsi untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu berkepentingan bersama.

Beliau juga berkata Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan warganegara asing ke negara ini, namun mereka perlu menghormati undang-undang Malaysia dan peka dengan sensitiviti budaya dan agama masyarakat negara ini.

"Juga (mereka) tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara atau menyebabkan perpecahan atau menganggu keharmonian kaum dan agama, termasuk perihal yang membabitkan agama Islam di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian sosial dan budaya," katanya.