Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad komited dalam memperkasa golongan wanita menerusi kempen #GirlsCanDoAnything

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini membetulkan persepsi yang industri penerbangan bukan khusus untuk kaum lelaki.

Ia juga memberi dorongan kepada pelajar bahawa wanita juga mampu berjaya dalam industri ini.

Menerusi kempen ini, AirAsia memberi inspirasi kepada golongan belia wanita dalam merealisasikan impian mereka.

Kerjasama AirAsia bersama Teach For Malaysia melihat seramai 120 pelajar perempuan dari tiga buah sekolah menengah diberi galakan dan dorongan untuk menceburkan diri dalam sektor penerbangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Berhad, Aireen Omar, syarikatnya memberi peluang sama rata kepada semua tanpa mengira jantina.

Ini telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kreativiti dan juga jawatan kepimpinan bagi ramai golongan wanita di AirAsia.

“Kenapa kita perlu mengehadkan kepada jantina tertentu hanya kerana secara tradisinya ia dilakukan cara dahulu. Kita bukan sebuah syarikat di mana kita melakukan sesuatu hanya kerana ia telah dilakukannya secara tradisional.

“Kita meneroka sesuatu yang baharu dan melangkaui sempadan yang ada serta sentiasa melakukan penambahbaikan yang memberi nilai kepada masyarakat dan ekonomi.

“Apa salahnya mengambil seorang wanita untuk bekerja sebagai juruterbang atau jurutera? Mereka mungkin ada kelebihan yang tidak ada pada seorang lelaki. Adalah penting untuk mewujudkan kesedaran bahawa kerjaya profesonal ini tidak tertakluk kepada lelaki tetapi untuk wanita juga,” kata Aireen dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI semasa lawatan ke ibu pejabatnya RedQ pada Jumaat sempena kempen #GirlsCanDoAnything.

Kempen ini jelas Aireen akan berlanjutan sehingga Mac 2017 sempena Hari Wanita Sedunia.

Wanita perlukan keberanian untuk terbang di awan biru

Kemampuan dan kesungguhan seseorang wanita yang berusaha menjadi seorang juruterbang, tidak harus diperlecehkan.

Ini khususnya bukan mudah untuk memecahkan dominasi kaum lelaki dalam dunia penerbangan.

Bagi juruterbang AirAsia, Kapten Zephina Khanam Mohd Jasbir Khan, untuk memudahkan seseorang wanita diterima dalam bidang tersebut, mereka perlu memiliki keberanian dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja.

"Pengalaman membina watak. Pada awalnya, mungkin timbul rasa tidak selesa untuk bekerja dengan lelaki.

"Akhirnya, kita diterima sebagai kawan dan kemudian, reputasi anda akan terbina dan ini memudahkan tugasan," katanya ketika berkongsi pengalaman beliau bersama pelajar di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia di sini pada Jumaat.

Beliau yang sudah mengemudikan pesawat selama 10 tahun tidak menafikan, cabaran untuk wanita yang bekerja dalam sektor penerbangan sentiasa wujud khususnya pandangan negatif daripada masyarakat umum.

Walau bagaimanapun, ini tidak penting kerana pesawat tidak pernah mengambil kira sama ada, juruterbangnya seorang wanita atau lelaki.

“Akan terdapat banyak persepsi negative daripada orang ramai yang menyoal kebolehan kami mengemudi pesawat.

"Apa yang penting ialah anda akan melakukan perkara yang betul dan focus mengikut latihan yang sudah diberikan oleh AirAsia," kata Zephina.

Zephina sendiri datang daripada keluarga yang berlatarbelakangkan juruterbang, minat beliau sebenarnya, disorong oleh abangnya.

"Ia sentiasa mengalir dalam keluarga. Kami amat meminati penerbangan," katanya.

Sementara itu, menurut Pegawai Pertama Farah Zieda Mohd Anuar dan jurutera pesawat, Putri Siti Nordiyana Mohd Zain, mereka sentiasa yakin dengan kemampuan diri sendiri.

Hasilnya, mereka mampu bertahan dalam industri penerbangan yang tidak semudah yang disangkakan.

“Saya rasa semua ini tercetus kerana minat. Oleh kerana saya seorang yang optimistik, apabila saya inginkan sesuatu, saya akan cuba sedaya upaya sehingga berjaya,” kata Farah Zieda.

“Kita perlu rebut pengalaman untuk mendapatkan kerja. Untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan, kita perlu yakinkan orang bahawa walaupun saya seorang perempuan, saya mampu melakukan kerja.

“Jadi cubalah saya dahulu. Untuk meyakinkan orang, itulah cabaran sebenar saya,” kata Putri yang setia bersama AirAsia sebagai jurutera selama 9 tahun.

Setakat ini, AirAsia mempunyai 19 jurutera pesawat dan 38 juruterbang wanita.

Manakala seramai 10 wanita bertugas sebagai juruterbang dan empat lagi sebagai jurutera dengan AirAsia X.