Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terus memainkan peranan lebih proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam catatan di Facebook rasminya, Perdana Menteri berkata, GLC prlu menjadi contoh kepada syarikat atau industri lain dalam usaha membantu rakyat berhadapan dengan kesukaran ekoran penularan wabak COVID-19.

“Peranan GLC penting dalam membantu kerajaan merangka strategi ekonomi yang komprehensif semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau telah mengadakan persidangan video bersama enam teraju utama GLC, pagi ini, bagi membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi negara.


“GLC terlibat adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Raja Alias, Jalil Rasheed (CEO PNB) dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridzuan.

“Turut sama adalah CEO Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman, CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Nik Amlizan Mohamed dan CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen,” katanya lagi.